Tag: iman

Iman dan Persoalannya: Peringkat Iman (2/2)

Sila klik link ini untuk ke part 1/2.


PERINGKAT IMAN

Iman antara satu orang dengan seorang yang lain tidak sama. Ulama telah membahagi iman
menjadi 5 peringkat iman:

  1. Iman Taqlid
  2. Iman Ilmu
  3. Iman ‘Ayan
  4. Iman Hak
  5. Iman Hakikat

Iman Taqlid

Iman Taqlid adalah iman ikut-ikutan, yaitu orang yang beriman dengan semua rukun iman
tetapi hanya ikut-ikutan saja.Pegangan Islamnya tidak kuat, prinsip Islamnya tidak kukuh. Dia tidak memiliki alasan yang kuat mengapa ia beriman.

Kalau ditanya, “Apa bukti wujudnya Allah ?” Dia hanya mampu menjawab, “Saya mendengar orang berkata ada, maka saya pun mengatakan ada”.
Sandaran keyakinannya pada orang lain, dia tidak memiliki dalil ‘aqli maupun naqli (dalil akal
atau dalil Al Quran) untuk membuktikan keyakinannya pada rukun iman. Majoriti umat Islam hari ini, baik berpangkat atau tidak, miskin atau kaya, bodoh atau bijak, adalah orang-orang yang beriman taqlid. Mereka yang beragama Islam kerana secara kebetulan dilahirkan dari ibu dan bapak yang beragama Islam. Keyakinan mereka kepada Allah hanya kerana kebiasaan sejak lahir. Mereka lebih tahu tentang anatomi seekor kuman yang sangat kecil, daripada Allah Yang Maha Besar. Mereka lebih mahir tentang bentuk bumi yang sulit dan rumit daripasa suasana kiamat yang dahsyat. Mereka lebih yakin dengan teori sains daripada janji-janji Allah yang terkandung dalam Al Quran dan Hadis.

Sifat orang yang beriman taqlid terhadap agama Islam seperti daun kering yang ditiup angin
kesana-kemari. Mereka tidak dapat mengawal keyakinan nafsu yang liar, juga tidak sanggup
berhadapan dengan ujian. Menurut dalil yang paling jelas, iman taqlid ini tidak sah. Segala amal ibadah orang yang beriman taqlid tertolak dan tidak mendapat pahala di sisi Allah. Bila iman seseorang ini tidak diterima, seluruh amalannya tidak akan diterima. Kalau orang ini mati dalam keadaan taqlid tanpa berniat menuntut ilmu dan menambah iman, maka mati sebagai orang kafir dan kekal di dalam Neraka. Tetapi Allah memberi maaf kepada orang yang terlalu bodoh, walaupun telah belajar sungguh-sungguh tapi masih tidak dapat. Ada ulama yang mengatakan iman taqlid bagi orang seperti itu, dengan syarat keyakinannya masih jazam.

Iman Ilmu
Iman Ilmu adalah iman yang berdasarkan ilmu, yaitu seorang yang telah mempelajari tentang
Allah, malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi, hari kiamat dan lain-lain yang diwajibkan
mengimainya.

Ilmu minima yang mesti dimiliki oleh seseorang yang membolehkan berada di taraf iman ilmu adalah:
1. 20 Sifat yang wajib bagi Allah dengan dalil-dalil ‘aqli (akal) dan naqli (Al Quran) secara ijmali (ringkas, tanpa kutipan yang terperinci)
2. 20 Sifat yang mustahil bagi Allah dengan dalil-dalil ‘aqli dan naqli secara ijmali.
3. 1 Sifat yang harus bagi Allah dengan dalil-dalil ‘aqli dan naqli secara ijmali.
4. 4 Sifat yang wajib bagi Rasul, 4 Sifat yang mustahil bagi Rasul dan satu sifat yang harus
bagi Rasul dengan dalil-dalil ‘aqli dan naqli secara ijmali.
Kesemua sifat Allah dan Rasul yang berjumlah 50 itu diyakini dan difahami sungguh-sungguh.
50 Sifat inilah yang terkandung dalam kalimat syahadat. Inilah yang dikatakan ‘aqaidul iman
atau kesimpulan iman. Jika seseorang itu telah mempelajarinya, memahami dan
menyakininya maka orang ini dikatakan beriman ilmu.
Sifat-sifat orang yang beriman ilmu ialah :
1. Imannya serta keyakinannya berasas dan kuat bertunjang pada akalnya.
2. Iktiqadnya disertai dengan dalil yang kuat serta pegangan yang kokoh.
3. Mereka benar-benar berada dalam fikiran tauhid yang mantap dan unggul, tidak mudah goyang dan terpengaruh dengan faham dan ideologi selain Islam.
4. Walaupun begitu, mereka tidak kuat melawan hawa nafsu dan syaitan.
5. Mereka tidak takut pada Allah dan mudah berbuat durhaka pada Allah.
6. Mereka hanya mampu mengatakan Islam tapi tidak mampu berbuat atau
mengamalkannya.

Mereka tidak takut dengan ayat Allah yang berbunyi:
“Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu perkatakan apa yang tidak kamu lakukan.
Teramat besar kebencian di sisi Allah, apa yang kamu katakan tetapi tidak kamu lakukan”
[As Shaf : 2-3]

Jadi iman ilmu belum lagi dapat menyelamatkan seseorang itu dari Neraka Allah, kerana
imannya beru berasas di akal dan belum menjunam ke hati.

Iman Ayan

Iman Ayan, tarafnya lebih tinggi dari iman ilmu. Hasil dari latihan yang bersungguh-sungguh, orang yang beriman ilmu akan meningkat kepada iman ayan.

Antara sifat orang-orang yang beriman ayan adalah:
1. Imannya bertempat di hati (jiwa), bukan lagi di fikiran sebagaimana orang beriman ilmu.
2. Hatinya sentiasa  mengingati Allah. Dia sentiasa  mempunyai hubungan hati dengan Allah
Firman Allah:

Mereka yang sentiasa  mengingati Allah dalam waktu berdiri, waktu duduk, dan waktu
berbaring, dan mereka sentiasa  memikirkann tenatng kejadian langit dan bumi, seraya
mereka berkata, “Wahai Tuhan kami, tidak Engkau jadikan semua ini dengan sia-sia. Maha
Suci Engkau, jauhilah kami dari azab Neraka”.
[Ali Imran : 191]

3. Ibadahnya khusyuk dan meresap ke hati.
4. Sentiasa merasakan kebesaran Allah di mana saja berada dan menyerah diri kepada Allah
tanpa syak dan ragu, firman Allah:

“Sesungguhnya orang yang sebenarnya beriman ialah orang-orang yang beriman kepada Allah
dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu berjihad dengan harta dan diri mereka pada
jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar”
[Al Hujurat : 15]

5. Hati sensitif dengan Allah. Bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka. Firman Allah :

“Bahawasanya orang Mukmin yang sebenar apabila disebut nama Allah, dan dibaca ayat-ayat
Quran, bertambah iman mereka dan hanya kepada Tuhan mereka (Allah) saja mereka
menyerah diri.”
[Al Anfal : 2]

6. Semua perintah Allah, kecil atau besar dipatuhi dan semua larangan Allah baik sesuai atau
tidak sesuai nafsunya, ditinggalkan dengan penuh kerelaan. Firman Allah:
Terjemahan: Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin  bila dipanggil kepada Allah  dan
Rasul-Nya agar menghukum dengan adil di antara mereka ia lah “Kami  dengar dan  patuh.
Mzreka  itulah orang-orang yang beruntung” [An Nur : 51]
7. Terlalu sensitif dengan dosa. Sabda Rasulullah:
“Orang Mukmini itu, apabila terbuat sedikit dosa, terasa seperti gunung yang besar, yang
hendak menimpa mereka.”
8. Sangat berakhlak dengan Allah dan dengan manusia. Hati sentiasa  merasa khusyuk, takut,
terasa diawasi oleh Allah, tidak cinta dunia dll.
9. Sabar berhadapan dengan ujian-ujian hidup. Sudah mampu mengamalkan Islam dalam diri,
keluarga dan masyarakat.
10. Sentiasa  mendapat bantuan dan pertolongan dari Allah.
11. Tidak lama di hisab di akhirat dan mudah masuk ke syurga.
Di dalam Al Quran, Allah memuji golongan yang beriman ayan dan menamakan mereka
dengan berbagai nama yang baik, diantaranya:
Solehin (orang-orang yang baik), Abrar (orang-orang yang berbakti), Muflihun/Al faizun
(orang-orang yang mendapat kemenangan), Ashabul Yamin (orang yang akan menerima
suratan amalan dari sebelah kanan di Padang Mahsyar nanti.

Iman Haq
Iman haq adalah iman yang sebenarnya, yang dicapai sesudah iman ayan. Seseorang yang
mencapai iman haq, mata hatinya melihat Allah, ertinya setiap kali ia melihat kejadian, hati
dan fikirannya tertumpu kepada Allah.
Sifatnya ialah:
1. Ingatannya kepada Allah bukan dibuat-buat, terasa hebat dan takut kepada Allah setiap
masa. Hatinya tidak lekang dari mengingati Allah, karam atau khusyuk dengan-Nya.
2. Hati tidak terpaut dengan dunia dan tidak dapat dilalaikan oleh nafsu dan syaitan. Cintanya
penuh pada Allah dan pada kehidupan akhirat.
3. Mereka diberi gelar sebagai Muqarrobin oleh Allah, yakni orang-orang yang terlalu dekat
dirinya dengan Allah.
4. Kebaikan orang soleh itu dianggap satu kejahatan oleh orang-orang Muqarrobin.
5. Mereka lah yang dikenal sebagai wali Allah, kerana memiliki sifat-sifat istimewa,
sebagaiman firman Allah:

10:62
“Sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak pernah merasa takut dan duka cita”
[Yunus : 62]

6. Hati dihiasi dengan sifat-sifat mahmudah seperti zuhud, ikhlas, tawadhuk, dan lain-lain.
7. Mereka sentiasa  menunaikan perintah Allah, tidak merasa gembira bila dpuji dan tidak
merasa hina bila dikeji.
8. Kebahagiaan hati mereka lebih utama daripada wang. Mereka mendapat Al Jannatul ‘Ajilah
atau syurga yang disegerakan.
9. Mereka cinta akhirat sebagaimana orang lain mencintai dunia. Mereka inilah yang layak
Allah serahkan dunia ini untuk diurus. Firman Allah:
10. “Sesungguhnya Allah akan wariskan bumi ini kepada orang yang soleh”.
[Al Anbiya : 105]

Iman Hakikat
Iman hakikat ialah peringkat iman yang tertinggi dan paling sempurna. Inilah taraf iman yang
dimiliki oleh para Rasul, Nabi, Khulafaur Rasyidin dan wali-wali besar, yaitu para kekasih
Allah. Mereka akan ditempatkan oleh Allah di dalam syurga yang paling tinggi. Mereka
dimasukkan ke dalam syurga tanpa melalui hisab. Hidup mereka 24 jam asyik dengan Allah.
Hati mereka kekal mengingati Allah dalam tidur maupun berjaga. Setiap perbuatan mereka
semua menjadi ibadah kepada Allah. Ibadah mereka hebat, solat sunat paling kurang 300
rakaat sehari semalam.

Akhlak mereka terbaik dan termulia. Allah akan turunkan barakah di
mana mereka berada. Merekalah golongan super-scale akhirat. Hidup di dalam Syurga Yang
Maha Indah dan Maha Lezat. Allah karuniakan nikmat tersebut untuk membalas cinta dan
pengorbanan mereka yang sungguh besar.
Setelah kita mengenal peringkat mana iman kita, hendaklah kita meningkatkannya hingga
mencapai tingkat iman yang tinggi yang selamat sejahtera menuju Allah.

– Al-Marhum Ustaz Ashaari M.

Advertisements

Iman dan Persoalannya (1/2)

Iman adalah asas penting, yang menjadi landasan tempat berdirinya peribadi mukmin. Kalau
manusia diibaratkan seperti sebatang pokok, maka iman adalah akar tunjang untuk pokok itu.
Kalau manusia diibaratkan seperti sebuah rumah, maka iman adalah tapak berdirinya rumah
itu.

  

Demikianlah pentingnya iman dalam usaha melahirkan seorang manusia yang sempurna dan diredhai Allah SWT. Tanpa iman, seseorang itu akan sama seperti pokok yang tidak berakar tunjang atau rumah yang tidak memiliki “foundation”. Maknanya, seseorang yang tidak memiliki iman tidak akan memiliki kekuatan untuk berhadapan dengan hidup. Dia pasti gagal.
Kalaupun ada tanda-tanda Islam melalui ibadah lahir, tetapi ibadah itu tidak akan berfungsi
apa-apa sewaktu manusia yang tidak memiliki iman berhadapan dengan persoalan-persoalan
hidup. Semakin banyak ibadah, semakin cepat gagalnya, seperti halnya semakin besar pokok
yang tidak berakar tunjang, maka semakin cepat tumbangnya atau makin besar rumah yang
didirikan di atas lumpur, makin cepat robohnya.
Datang ujian kecil pun, orang yang tidak memiliki iman sudah goyang. Apalagi ketika
berhadapan dengan ujian-ujian yang besar, hanyut dan tenggelamlah ia. Sejarah telah
membuktikan hal itu dalam berbagai bentuk. Seorang wali Allah dengan ‘karamah-karamah’
yang luar biasa, pengikut berpuluh ribu dan ibadah pun seperti ibadah nabi-nabi, tetapi di
akhir hayatnya telah kafir kerana telah berhasil ditipu oleh syaitan hanya dengan seteguk arak
dan seorang wanita.
Islam dapat tegak dan kekar dalam peribadi atau masyarakat manusia hanya kerana ada dan
kuatnya iman. Tanpa iman yang kuat, Islam hanyalah satu simbol lahiriah yang diamalkan
sebagai satu amalan tradisi dan kebiasaan semata-mata. Sebaliknya iman yang kuat akan
menghasilkan peribadi yang benar-benar kuat dan Islamic.
Islam adalah amalan lahir, Iman adalah amalan hati (batin). Kalau iman kuat, Islam pasti
kuat. Tetapi kalau Islam yang kuat belum tentu imannya kuat. Hal ini mesti diperhatikan
betul-betul. Jangan sampai kita menjadi orang yang kuat beramal saja tetapi lemah imannya,
sebaliknya jadilah orang yang kuat beriman dan kuat beramal. Allah menjanjikan keuntungan
tertentu hanya bagi orang-orang yang beriman dan beramal.
Firman Allah swt:
103:1
103:2
103:3
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu semuanya berada dalam kerugian. Kecuali orang
orang yang beriman dan beramal soleh”
[Al ‘Asr: 1-3]
Allah menyebutkan iman terlebih dahulu, sebagai syarat bahawa amalan yang diawali atau
didorong dengan iman sajalah yang akan dinilai. Rasulullah turut mengingatkan itu dengan
sabda baginda:
“Allah tidak melihat kepada rupamu dan hartamu (gambaran lahir) tetapi Dia melihat hati
kamu dan amalan kamu”
[Riwayat Muslim]
Sebanyak apapun amalan lahir seperti solat, puasa, menutup aurat, zikir, doa, sedekah,
berjuang dan berjihad tidak ada erti apa-apa di sisi Allah.
Saya tegaskan sekali lagi bahawa, orang-orang yang beriman sudah tentu akan beramal.
Tetapi orang yang beramal belum tentu benar-benar beriman. Dan orang lain yang tidak
beramal sama sekali, tentu lebih lemah imannya atau tidak memiliki iman sama sekali. Sebab
itu Allah sering mengingatkan bahawa amalan yang akan diterima-Nya hanyalah amalan dari
orang-orang yang beriman. Di antara firman-firman Allah yang menunjukkan demikian
adalah:
21:94
“Maka siapa yang mengerjakan amal soleh, sedang ia beriman, maka usahanya itu tidak
diabaikan dan sesungguhnya kami menuliskan amalan itu untuknya”
[Al Anbia : 94]
2:82
“Dan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itu penghuni Syurga, mereka
kekal di dalamnya”
[Al Baqarah : 82]
Berdasarkan ayat-ayat itu, kita hendaknya paham atau sadar tentang pentingnya iman itu
melebihi amalan-amalan yang lain. Orang yang mengaku beriman tetapi tidak mau beramal
adalah penipu. Orang yang beramal tapi tidak beriman adalah tertipu. Oleh sebab itu
sebaiknya bersiap-siap untuk memeriksa hati kita sendiri, apakah beriman atau tidak. Cara
pemeriksaan itu hendaknya sistematik dan ilmiah, bukan mengira-ngira tanpa panduan.
Iman menurut lughah (bahasa yang digunakan sehari-hari) bererti percaya. Sebab itu orang
yang beriman dikatakan orang yang percaya. Siapa yang percaya maka dia dikatakan
beriman. Tidak ada huraian tentang bagaimana cara dan syarat percaya yang dimaksud.
Yang kedua takrif (pengertian) iman menurut istilah syariat Islam adalah seperti disabdakan
oleh Rasulullah SAW yang berbunyi:
“Iman adalah mengenal dengan hati, mengucapkan dengan lidah dan mengamalkan dengan
jasad (anggota lahir)” [At Tabrani]
Dengan Hadis itu kita diberitahu bahawa iman adalah keyakinan yang dibenarkan oleh hati,
diucapkan dengan mulut (lidah) dan dibuktikan dengan amalan. Ringkasnya orang yang
beriman adalah orang yang percaya, mengaku dan mengamalkannya. Tanpa ketiga syarat itu,
orang itu belum tentu dikatakan memiliki iman yang sempurna. Bila satu dari tiga faktor itu
tidak ada, maka dalam Islam orang itu akan dimasukkan ke dalam golongan lain, mungkin
fasik, munafik atau kafir.
Mari kita lihat apa yang terjadi pada orang yang tidak memenuhi ke-3 syarat iman tersebut :
1. Seseorang yang beriman dengan ucapan “Lailahaillallah” dan memiliki keyakinan, tetapi tidak beramal atau amalannya tidak sempurna sebagaimana yang dikehendaki, dimasukkan dalam golongan mukmin yang fasik atau mukmin ‘asi (durhaka). Di akhirat nanti tempat mereka adalah Neraka. Bila iman yang dimiliki itu sah, maka masih ada peluang untuknya ke Syurga, setelah disiksa dengan siksaan yang pedih.
2. Seseorang yang memiliki keyakinan tetapi tidak mau mengikrarkan “Lailahaillallah” baik beramal atau tidak, dimasukkan kedalam golongan kafir. Ada juga qaul yang memasukkan mereka dalam golongan fasik. Tapi menurut qaul yang lebih kuat, mereka termasuk golongan kafir. Bila meninggal mereka tidak boleh dikuburkan di tanah pekuburan Islam, dan di akhirat nanti akan kekal tersiksa dalam Neraka.
3. Seseorang yang mengucapkan “Lailahaillallah”, kemudian beramal dengan segala
tuntutannya (sedikit atau banyak) tetapi keyakinannya masih diliputi keragu-raguan,
digolongkan sebagai orang munafik. Ragu-ragu yang dimasukkan di sini bukan saja pada Allah, tetapi mungkin pada Rasul, malaikat, kitab, hari Kiamat atau qadha dan qadar. Apabila seseorang mengucapkan kalimat tersebut, maka ia menjadi seorang Islam. Tetapi belum bisa dikatakan beriman, walaupun ia mengerjakan solat, puasa, zakat dan haji.
Hal ini diberitahukan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:
49:14
“Orang Arab Badwi itu berkata “Kami telah beriman,” Katakanlah (pada mereka), “Kamu
belum beriman.” Tetapi katakanlah olehmu “Kami telah tunduk (Islam),” kerana iman itu
belum masuk kedalam hatimu, dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan
mengurangi sedikit pun (pahala amalanmu), sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha
Penyayang.
[Al Hujurat : 14]
Dari ayat itu dapat diambil kesimpulan bahawa:
  1. Seseorang yang Islam belum pasti beriman, tetapi orang yang beriman sudah pasti Islam.
  2. Islam dapat diketahui melalui amalan-amalan lahir, sedangkan iman adalah amalan hati (batin).

Sila ke post “Iman Dan Persoalannya: Peringkat Iman” (2/2) untuk baca seterusnnya.