Syahwat Gelap dan Mengubatinya [Baca ini]

Artikel ini dipetik dari buku Fiqh Medik Mini oleh Dr. Zaharuddin. Di tiap di website ini oleh author website, Muaz.

Topik ini tentang kemaluan dengan kelakuan manusia, saya harap artikel ini dapat membimbing pembaca cara untuk berhenti dari onani atau nafsu syahwat kepada mereka yang melakukannya. Amin.


Soalan

Assalamualaikum warahmatullah,

Terlalu banyak pandangan, ajaran dan nasihat Ustaz berikan, hanya satu saya minta. Ketagihan nafsu seks ini begitu melampau. Ustaz dan saya juga hanya manusia.

Jadi, bagaimana ingin menghentikannya untuk selamanya dan bagaimana untuk dapatkan taubat sebenar-benarnya? Itu yang Ustaz perlu ajar pada kami yang lemah ini semua.

Jikalau Ustaz dapat beri jawapan, saya dan mereka yang lemah ini pasti peroleh petunjuk dan Ustaz pasti akan dapat keredhaan di atas ilmu Ustaz. Seterusnya tidak dipersoalkan di mashyar kelak. Akhirnya, Ustaz dan kami semua insya Allah dipermudahkan untuk ke syurga. Mohon ihsan Ustaz bagi memberi penjelasan. Jazakallah.

Sifat nafsu amarah memang sentiasa mengajak kepada dosa. Kegagalan pengawalan nafsu syahwat bagi majoriti manusia adalah lumrah, manakala sebahagian yang lain mampu mengekang nafsunya hasil daripada usaha tungkus lumus luar dan dalam. Namun, adakala mereka yang mampu mengawal juga mungkin tertewas.

Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawa kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu.

Surah Al-Baqarah, ayat 187.

Melalui ayat ini, sebahagian umat Islam gagal mengikut nafsu syahwat kelaminnya, hingga ‘bersama’ isterinya di siang hari Ramadan. Dengan segala kelemahan manusia, Allah swt membenarkan suami isteri untuk bersama di malam hari Ramadan. Namun itu pun masih ramai yang terlepas melakukannya di siang hari. Maka, Islam menetapkan cara dendanya bagi menebus kesalahan itu.

Kifarah adalah satu bentuk denda dan taubat. Manusia akan melakukan kesalahan, dan taubat adalah jalannya apabila sudah terlanjur.


Senarai “yang jangan” dan “yang perlu” untuk tindakan

Sebagai kesimpulan dan tambahan kepada penjelasan di atas, disertakan beberapa cara, usaha, kaedah dan jalan bagi mengawal nafsu syahwat secara ringkas dan padat:

  1. Fikirkan target kehidupan dan usaha melaksanakannya. Pinggirkan oemikiran berkenaan seks dan syahwat sedaya mungkin. Sibukkan diri mencapai target itu.
  2. Datangkan keyakinan bahawa Allah swt maha melihat apa yang sedang kita lakukan.
  3. Sedarkan diri, malaikat turut sentiasa bersama kita mencatat apa yang ditulis, diucap dan dilakukan.
  4. Rapatkan hubungan dengan ahli keluarga yang baik dan soleh.
  5. Putuskan hubungan songsang dan gelap, sama ada yang dibuat secara suka-suka ataupun serius, yang diperolehi melalui internet ataupoun fizikal, melalui lamat chat, email, web, dan sebagainya. Putuskan semua medium yang boleh mendorong kepada peningkatan syahwat. Jikalau bersorangan di hadapan komputer itu boleh menyebabkan pemikiran syahwat naik, maka elakkan diri bersorangan di hadapan komputer. Jikalau berbual mesara dan makan tengah hari bersana dengan rakan sekerja lain jantina itu puncanya, elakkan diri daripadanya dan makan sendirian bersama yang sama jantina sahaja. Begitulah seterusnya.
  6. Putuskan hubungan adik, kakak dan abang angkat berlainan jantina kerana ia tidak lain kecuali haram dan pendorang maksiat.
  7. Ubah rutin kehidupan yang mendorong kepada peningkatan syahwat. Semua orang tahu dan sedar apa jenis tindakan yang boleh mendorong syahwatnya. Ia mungkin tidak sama antara satu sama lain.
  8. Hadiri majlis Ilmu dan sibukkan diri membuat target baru seperti membuat blog, menulis buku dan majalah, menghasilkan karya seni lukisan, dan sebagainya. Buat satu target lain dalam hidup yang boleh menyibukkan diri kita bagi mencapainya. Tanpa target dalam kehidupan, keinginan syahwat akan membiak dan berkembang akibat waktu kosong.
  9. Sertai kumpulan bersifat keagamaan yang boleh membawa kepada ingatan kepada Allah swt. Tetapi awas, elakkan kumpulan songsang dan ajaran sesat.
  10. Sertai kumuplan NGO ataupun kumpulan berasaskan dakwah dan leagamaan. Dengannya dapat membuka ruang mendapat rakan dan sahabat yang baik. Selain itu, masa kosong dan pemikiran syahat akan dapat dibendung hasil kesibukan menganjur program dalam kumpulan terbabit. Sekarang, mulakan usaha mencari kumpulan-kumpulan sebegini, sebagai contoh JIM, ABIM, GAMIS, Persatuan Peguam Syarie, Persatuan Pengguna Islam, Yayasan AMAL, NISA, KARISMA dan sebagainya. Diharapkan dengannya, waktu akan lebih terisi dengan program yang baik.
  11. Jikalau kita sedang bekerja, ataupun belajar, target untuk cemerlang dalam pelajaran dan kerja kita. Dengan itu, kita akan lebih sibuk daripada biasa dan pemikiran akan lebih terarah kepada tujuan yang digariskan. Pemikiran kepada syahwat akan mula menurun ataupun ruangnnya disempitkan.
  12. Ziarahi kubur secara kerap supaya syahwat menjadi tawar akibat pemikiran kepada kematian.
  13. Fikirkan kita akan mati ketika sedang melakukan maksiat itu. Adakah redha bagi menerima kematian dalam situasi itu? Fikirkan selalu.
  14. Jikalau kita sedang bersyahwat kepada seorang wanita sama ada di kaca internet, TV, atau fizikal, segeralah berfikir tentang yang hodoh tentangnya supaya syahwat menjadi menurun, seperti fikiran mulut dan nafasnya berbau busuk, giginya kotor, muntahnya busuk, ada penyakit keputihan dan lendir, najis tidak dibasuh bersih, ada AIDS, dan banyak lagi. Lawan nafsu yang sedang meningkat dengan mereka cipta perkara yang bertentangan dengan kesoronokan nafsu. Ini diperlukan jikalau pemikiran terhadap alam ghaib dan akibat buruk gagal membendung perasaan.
  15. Jikalau komputer dan internet kerap menjadi asbab peningkatan syahwat, perdengarkan bacaan Al-Quran setiap kali di hadapan komputer. Insya Allah dengannya rasa malu akan timbul. Jikalau tidak banyak, dengarkanlah sedikit. Jikalau syahwat masih menggila di hadapan komputer itu, segera berhenti dan keluar dari bilik dan melihat awan, langit, pokok dan laut. Ingatkan tentang kebesaran Allah swt.
  16. Jangan sesekali membiarkan diri terus menerus dipukau nafsu dan syaitan. Satu jurus langkah kepada maksiat adalah kunci untuk syaitan menjerumuskan kepada maksiat yang lebih besar. Apa sahaja perbuatan yang mampu mendorong kepada kehampiran kepada maksiat yang lebih besar perlu disekat segera. Kerana itu Allah swt mengingatkan: “Dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang terang nyata bagi kamu.” – Surah Al-Baqarah, ayat 168.
  17. Menjaga pemakanan. Pastikan makan makanan yang halal dan bersih. Makanan haram mendorong kepada syahwat yang lebih liar.
  18. Memastikan harta yang diperoleh adalah sumber halal. Sumber haram (seperti Riba) menambah perisa syahwat kepada yang lebih kuat dan dahsyat. Ibarat mutasi virus yang lebih merbahaya kepada kesihatan.
  19. Amalkan puasa sunat, zikir secara berdisiplin setiap kali (baca zikir mathurat contohnya) selepas solat, dan doa sebanyak mungkin semasa sujud dalam solat supaya diberikan kekuatan bagi mengawal nafsu syahwat.
  20. Segera beristighfar dan bertaubat walaupun belum jatuh dalam maksiat yang berat. “Dan segeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu, dan syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.” – Surah Ali Imran, ayat 133.

Demikian beberapa cara, usaha dan kaedah yang mampu saya senaraikan demi membantu sesiapa sahaja bagi mengawal dan mengekang nafsu. Sekali nafsu sudah merasuk hati dan akal, sesorang individu akan lupa hakikat sebenar dan ditipu oleh kenikmatan sementara. Lupa kepada keburukan kekal yang menanti. Sama-sama kita ingat-mengingati.

Allah swt menyatakan:

“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya susut dan terbenam kebersihannya.” – Surah Asy-Syams, ayat 9 hingga ayat 10.

Untuk penerangan tentang topik lain, sila mendapatkan bukunya: Fiqh Medik Mini by Dr. Zaharuddin Abd Rahman

Mohon share dan menyebarkan artikel kepada orang ramai. Jazallahu Khairan.